Tuesday 26 March 2013

SEMINAR KEKELUARGAAN ISLAM PERINGKAT NEGERI PERAK : “ISU NAFKAH – BEBAN ATAU TANGGUNGJAWAB..??”

 







IPOH, 21 Mac 2013 (Khamis) – Hampir 600 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan pelbagai jabatan dan agensi awam di Negeri Perak telah mengikuti Seminar Kekeluargaan Islam Peringkat Negeri Perak. Hadir sama di seminar anjuran Seksyen Bahagian Sokonga Keluarga (SBSK), Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) ialah Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Setia Bijaya Diraja, Dato’ Seri Haji Mohd. Ghazali Bin Haji Abd. Rahman Orang Besar Jajahan Perak Tengah.


Seminar bertajuk  “Isu Nafkah – Beban Atau Tanggungjawab..??” ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato' Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Seminar ini turut menyaksikan Majlis Penyampaian Replika Cek sebanyak RM 100,000 kepada Pengarah  JAIPk sebagai simbolik penyerahan Geran Pendahuluan Dana Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Perak. Majlis telah disempurnakan oleh Y.A.A Tan Sri Ibrahim Lembut Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan disaksikan oleh Y.Bhg. Datuk Hajah Kamilia Binti Dato Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bahagian Sokongan Keluarga.


Seminar yang bertujuan memberi penerangan dan menyebarluaskan mengenai peranan dan fungsi BSK ini telah direalisasikan melalui taklimat yang disampaikan oleh Tuan Muhammad Khairul Nizzam Bin Kassim, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan membentangkan kertas kerja bertajuk “Bahagian Sokongan Keluarga – Peranan dalam Penyelesaian Isu Nafkah”. Seminar ini turut memuatkan slot ceramah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Kazim Bin Elias Al-Hafiz, Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh yang bertajuk  “Isu Nafkah - Beban Atau Tanggungjawab...?? ” bukan saja menggamatkan lagi suasana seminar malah memberi impak kefahaman yang berkesan mengenai isu nafkah.


Seminar ini juga telah mendapat liputan media dan sidang media turut diadakan di akhir majlis penyampaian replika cek. Artikel bertajuk “Isteri Terabai Digesa Tuntut Pendahuluan Nafkah” telah disiarkan di dalam akhbar Utusan bertarikh 22 Mac 2013 (Jumaat). Diharapkan melalui medium informasi ini rakyat di Negeri Perak akan menyedari bahawa ada tempat untuk mereka mendapatkan bantuan dalam meleraikan kemelut nafkah tanpa ada putus asa setelah perintah mahkamah diperolehi lantaran kedegilan dan keengganan bekas suami dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah.

 

Teks dan Foto Oleh :
Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Perak

Wednesday 5 September 2012

Selamat Hari Raya dari kami BSK Perak..

Jamuan Raya 2012 di JKSPk BSK Perak turut serta

Masa juri sedang memberi markah setiap kumpulan..
Meriahnya Sambutan Hari Raya Di JKSPk..
 
Inilah kumpulan bersama-sama BSK Perak..
 Aktiviti persiapan sebelum Majlis Sambutan Hari Raya..
 

Thursday 19 July 2012

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak



Marilah bersama kita beramal

Ubadah Bin Somit R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hamper menjelang :
“Telah dating kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini”.




“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)

Semoga Ramadhan ini mendatangkan kebaikan kepada kita semua. Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak
dari kami : BSK Negeri Perak.


Tuesday 10 July 2012

Patuh mahkamah selagi tiada permohonan ubah perintah


Jumaat, Januari 22, 2010

ADA bapa atau bekas suami yang bukan sengaja tidak mahu melaksanakan perintah nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tetapi sikap ibu tidak membenarkan bapa berjumpa anak menjadi punca perintah itu diabaikan.

Timbalan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata alasan menyebabkan perintah mahkamah tidak dilaksanakan itu diketahui apabila kedua-dua pihak dipanggil untuk sesi khidmat nasihat.

Katanya, bagi kes seumpama itu selalunya dapat diselesaikan cara baik selepas pegawai BSK meminta supaya ibu bapa patuh kepada undang-undang dan hukum agama yang pastinya memberi kebaikan kepada semua pihak terutama anak.

“Memang ada kes bukan bapa tidak mahu bayar nafkah tetapi apabila tidak dibenarkan jumpa anak, buat apa mereka nak bagi nafkah. BSK akan menasihatkan ibu walau apa terjadi, hubungan bapa dan anak tidak boleh putus. Kita juga jelaskan hukum agama siapa yang memutuskan hubungan bapa dan anak tidak akan masuk syurga. Jadi selain melaksanakan perintah mahkamah, BSK juga beri kesedaran agama. Jika isu tanggungjawab ditekankan, secara tidak langsung hak disempurnakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan ada bekas suami yang memang sengaja tidak mahu membayar nafkah kerana perasaan seronok kononnya dapat mengatasi undang-undang apabila tidak mematuhi perintah mahkamah. Bagi kes sebegitu katanya, BSK akan mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang dengan mendapat perintah mahkamah untuk menahan, merampas, melelong dan menjual harta bekas suami yang ‘tegar’ itu.

Mohd Na’im berkata, kefahaman mengenai undang-undang penting terutama bagi melaksanakan perintah mahkamah kerana perintah yang dikeluarkan wajib dilaksanakan tetapi boleh diubah apabila berlaku situasi yang membenarkan.

Antaranya, apabila pihak yang sepatutnya memberi sejumlah bayaran nafkah tidak mampu melaksanakan perintah itu atau pihak yang mendapat bayaran ingin menambah jumlah atas alasan bapa berkemampuan.

“Bagi kes nafkah anak, perintah bayaran yang diputuskan mahkamah berdasarkan status pihak terbabit ketika itu. Ada bapa yang selepas bercerai disahkan bankrap dan tidak mampu membayar nafkah, undang-undang membenarkan pihak berkenaan datang untuk ubah perintah. Ada juga yang selepas bercerai menjadi kaya raya dan bekas isteri boleh datang mahkamah minta ubah jumlah nafkah terdahulu kerana merasakan bekas suami mampu memberi lebih untuk nafkah anak. Perintah dikeluarkan mahkamah wajib dilaksanakan dan selagi tiada permohonan ubah perintah, ketetapan itu terus berjalan. Itu yang kita beritahu kepada pihak yang datang ketika sesi khidmat nasihat kerana kita mahu pastikan perintah mahkamah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, BSK memikul cabaran besar sebagai badan penguatkuasa untuk memastikan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan kepentingan anak terjamin untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun ditubuhkan 20 Oktober 2008, pegawai dan kakitangan BSK hanya mula dihantar bertugas di negeri April lalu selepas menjalani latihan serta pendedahan tugas di JKSM. Seramai enam pegawai dan kakitangan BSK ditempatkan di mahkamah di setiap negeri.

Sejak beroperasi dengan dana sebanyak RM500,000 sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), seramai 37 penerima mendapat bayaran pendahuluan BSK membabitkan jumlah RM100,000. Kes mereka juga sudah difailkan untuk penguatkuasaan.

Mohd Na’im berkata, perundangan saja tidak boleh menyelesaikan masalah kerana undang-undang adalah sebahagian mekanisme untuk memastikan kestabilan masyarakat dan perlu ada badan sokongan bagi memenuhi kekosongan yang ada.

Katanya, penubuhan BSK dilihat sebagai harapan kepada ibu dan anak mendapat hak nafkah yang selama ini diabaikan oleh bapa kerana tidak patuh perintah dikeluarkan mahkamah.

“Harapan saya, masyarakat umum memberi peluang kepada BSK untuk menyelesaikan perintah nafkah yang tidak dilaksanakan. Jika dulu tidak ada pihak boleh membantu, kini BSK ada untuk mendapatkan hak supaya dapat diberi kepada yang berhak. Pada masa sama, BSK memenuhi tanggungjawab menyalurkan bantuan melalui pembayaran pendahuluan bagi meringankan beban ibu tunggal yang menghadapi kepayahan membesarkan anak disebabkan suami tidak mematuhi perintah mahkamah,” katanya.

Oleh itu katanya, masyarakat perlu memahami fungsi serta matlamat utama penubuhan BSK dan memberi sokongan kepada badan itu melaksanakan tanggungjawab menegakkan undang-undang syariah dan meningkatkan imej Mahkamah Syariah.

Peranan Bahagian Sokongan Keluarga:
• Meleraikan konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.
• Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.
• Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.
• Menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.
::Petikan artikel dari laman suriaterang.blogspot.com tahun 2010::

Nafkah Sementara Lindungi Keluarga Teraniaya



Kelulusan dana RM15 juta bukti kerajaan peka keperluan isteri dalam proses bercerai

APABILA perintah nafkah zahir secara automatik kepada bekas isteri dalam edah dan anak yang belum mampu menanggung diri sendiri dicadangkan beberapa tahun dulu, banyak yang menyokong idea itu. Malah, ramai yang menggesa supaya pihak yang berkenaan berbuat sesuatu agar saranan itu menjadi kenyataan seberapa segera, sama ada melalui undang-undang atau bantuan sementara oleh kerajaan.

Antara usul menarik ialah agar setiap keluarga Muslim mempunyai 'insurans nafkah' supaya jika berlakunya perceraian atau suami gagal memberi nafkah, isteri dan semua anak tidak teraniaya dan dizalimi. Walaupun masih banyak perkara yang perlu dimurnikan, hal itu tentulah bertujuan memberi keadilan kepada wanita dan anak kecil seperti diperintahkan agama.

Tidak dapat dinafikan, hari ini ramai isteri bekerjaya dan mampu menanggung keluarga jika suami gagal menunaikan tanggungjawab. Malah trend berpoligami untuk menghimpun nafkah daripada isteri juga mengundang perhatian pemimpin dan pertubuhan wanita di negara kita dan hakikat ini sedikit sebanyak mencalarkan keizinan syarak kerana poligami bertujuan membela wanita yang dalam kesusahan, bukannya menganiaya wanita.

Undang-undang Islam memutuskan nafkah adalah tanggungjawab setiap suami dan menafikan hak mana-mana lelaki untuk berumahtangga sekiranya tidak mampu memberi nafkah kerana perkahwinan yang menyebabkan isteri dizalimi wajib dihalang.

Suami adalah qawwam (pemimpin) yang bertanggungjawab terhadap isteri seperti disebut dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaa', ayat 34 yang bermaksud: "Golongan lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap wanita."

Adalah amat penting untuk mengetahui sama ada bakal suami atau keturunan sebelah bapanya mampu menunaikan tanggungjawab memberi belanja asas untuk kesenangan ahli keluarga yang bakal bertambah kerana jika suami tidak memberi nafkah, maka bapa atau datuknya wajib berbuat demikian.

Di atas budi bicara isteri yang merelakan suami untuk tidak menunaikan tanggungjawab, masalah ini akan lebih meruncing apabila menuju perceraian kerana isteri akan memohon nafkah yang tertunggak seperti dibenarkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Membayangkan bayaran itu yang mungkin mencecah ratusan ribu kerana nafkah bukan hanya wang untuk membeli keperluan dapur, malah juga tempat tinggal, pakaian, pembantu dan kemudahan asas lain, menyebabkan ramai suami tidak mahu melepaskan isteri kerana tidak mampu membayar hutang.

Proses memohon perceraian oleh isteri pula memakan masa selain memerlukan kerjasama suami yang kebanyakannya melarikan diri. Dalam tempoh inilah isteri dan anak digantung tidak bertali selain terpaksa pula membayar hutang yang dipusakakan oleh suami yang hilang. Jarang pula yang sanggup meminta nafkah daripada keluarga suami walaupun itu yang sepatutnya mereka lakukan.

Apabila Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah Mahkamah Syariah, ia bagaikan durian runtuh buat isteri dan anak yang tiada tempat bergantung. Walaupun ia bukan bonus tahunan, sedikit sebanyak dapat juga membantu mereka yang benar-benar perlukan wang untuk meneruskan hidup, sementara mendapat hak yang sepatutnya mereka peroleh tanpa diminta.

Perlu juga difahamkan nafkah bukan wajib selepas berlakunya perceraian saja, sebaliknya bermula saat pertama dilafazkan ijab dan kabul. Amatlah tidak wajar sekiranya suami hanya berkira untuk memberi nafkah atau isteri hanya ingin memohon nafkah selepas disahkan bercerai.

Ia akan merumitkan keadaan yang tidak akan menjadi selesa selepas pertelingkahan bermula. Bagaimanapun, bukan semua isteri layak diberi nafkah, melainkan yang taat pada suami kerana hak yang boleh dituntut oleh seorang isteri daripada suami mestilah seimbang dengan kewajipan ditunaikan terhadap suami.

Nafkah sementara ini memanglah tidak akan menyelesaikan masalah tetapi sebagai perlindungan daripada pemerintah yang peka terhadap keperluan golongan wanita dan kanak-kanak.

Perlu diingat, wanita dan kanak-kanak bukanlah manusia kelas kedua atau ketiga yang boleh dipinggirkan sesuka hati apabila tidak diperlukan sebaliknya berstatus sama rata sebagai manusia di sisi Allah dan wajib dimuliakan.

Justeru, menzalimi mereka adalah satu kekejaman yang tidak terlindung lagi. Kerajaan melalui mahkamah wajar mengisytiharkan suami yang gagal membayar hutang nafkah sementara kembali kepada kerajaan sebagai bankrap, agar menjadi iktibar untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom.

::Petikan artikel suriaterang.blogspot.com tahun 2010::