ARTIKEL & TERBITAN


KUALA LUMPUR: Masalah bekas suami culas membayar nafkah yang sering berlaku ke atas golongan wanita selepas diceraikan mampu diselesaikan menerusi penubuhan sistem e-Nafkah yang mampu mengesan kes pengabaian itu dengan kadar segera.

Menerusi sistem yang dimulakan pada 17 Oktober 2011, sebaik Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah pembayaran nafkah, data itu direkodkan dan pegawai di Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah mengambil tindakan proaktif menghubungi wanita terbabit bagi mengetahui sama ada bekas suaminya menjalankan tanggungjawab itu atau tidak.

Pengarah BSK, Dr Naim Mokhtar berkata, jika sebelum ini, bekas isteri terpaksa menghubungi mahkamah membuat aduan setiap kali berlaku pengabaian pemberian nafkah, melalui sistem itu, pegawai BSK sendiri memantau sama ada tanggungjawab itu terlaksana atau tidak.

“Apabila perintah mahkamah direkodkan, pegawai berkenaan menghubungi bekas isteri kebiasaannya selepas dua bulan bagi memastikan ia dipatuhi. Jika bekas suami itu didapati gagal mematuhi perintah mahkamah, Unit Khidmat Nasihat Perundangan menjalankan proses runding cara memanggil pasangan itu bertujuan mengemaskini maklumat seperti anak dan harta,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia berkata, jika suami tidak mempunyai wang yang cukup ketika itu, dia diberi pilihan meminjam menerusi Unit Pengurusan Dana yang diberikan kepada bekas isteri untuk tempoh enam bulan.

“Sebelum dana itu diberikan, pasangan terbabit perlu menandatangani surat akuan berkanun sebagai bukti mereka bersetuju langkah penguatkuasaan di bawah Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah diambil selepas ini jika pengabaian masih berlaku,” katanya.

Langkah sama juga dilaksanakan bagi kes tunggakan sebelum ini bagi memastikan bekas isteri tidak dianiayai. Sistem itu merangkumi semua proses gerak kerja ketiga-tiga unit yang terdapat di BSK iaitu Unit Khidmat Nasihat Perundangan, Unit Pengurusan Dana serta Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah

No comments:

Post a Comment