Tuesday 26 March 2013

SEMINAR KEKELUARGAAN ISLAM PERINGKAT NEGERI PERAK : “ISU NAFKAH – BEBAN ATAU TANGGUNGJAWAB..??”

 







IPOH, 21 Mac 2013 (Khamis) – Hampir 600 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan pelbagai jabatan dan agensi awam di Negeri Perak telah mengikuti Seminar Kekeluargaan Islam Peringkat Negeri Perak. Hadir sama di seminar anjuran Seksyen Bahagian Sokonga Keluarga (SBSK), Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) ialah Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Setia Bijaya Diraja, Dato’ Seri Haji Mohd. Ghazali Bin Haji Abd. Rahman Orang Besar Jajahan Perak Tengah.


Seminar bertajuk  “Isu Nafkah – Beban Atau Tanggungjawab..??” ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato' Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Seminar ini turut menyaksikan Majlis Penyampaian Replika Cek sebanyak RM 100,000 kepada Pengarah  JAIPk sebagai simbolik penyerahan Geran Pendahuluan Dana Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Perak. Majlis telah disempurnakan oleh Y.A.A Tan Sri Ibrahim Lembut Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan disaksikan oleh Y.Bhg. Datuk Hajah Kamilia Binti Dato Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bahagian Sokongan Keluarga.


Seminar yang bertujuan memberi penerangan dan menyebarluaskan mengenai peranan dan fungsi BSK ini telah direalisasikan melalui taklimat yang disampaikan oleh Tuan Muhammad Khairul Nizzam Bin Kassim, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan membentangkan kertas kerja bertajuk “Bahagian Sokongan Keluarga – Peranan dalam Penyelesaian Isu Nafkah”. Seminar ini turut memuatkan slot ceramah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Kazim Bin Elias Al-Hafiz, Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh yang bertajuk  “Isu Nafkah - Beban Atau Tanggungjawab...?? ” bukan saja menggamatkan lagi suasana seminar malah memberi impak kefahaman yang berkesan mengenai isu nafkah.


Seminar ini juga telah mendapat liputan media dan sidang media turut diadakan di akhir majlis penyampaian replika cek. Artikel bertajuk “Isteri Terabai Digesa Tuntut Pendahuluan Nafkah” telah disiarkan di dalam akhbar Utusan bertarikh 22 Mac 2013 (Jumaat). Diharapkan melalui medium informasi ini rakyat di Negeri Perak akan menyedari bahawa ada tempat untuk mereka mendapatkan bantuan dalam meleraikan kemelut nafkah tanpa ada putus asa setelah perintah mahkamah diperolehi lantaran kedegilan dan keengganan bekas suami dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah.

 

Teks dan Foto Oleh :
Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Perak

No comments:

Post a Comment