PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia merupakan negara Islam pertama di dunia yang mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi membantu usaha menguatkuasakan penghakiman atau perintah Mahkamah Syariah dalam kes hal ehwal kekeluargaan, terutamanya dalam perkara berkaitan nafkah dan hak penjagaan anak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan BSK pada peringkat awal akan memberikan tumpuan kepada usaha membantu isteri bersama anak-anak meneruskan kehidupan selepas ditinggalkan suami tanpa nafkah akibat penceraian atau suami berkahwin lain.
"Bantuan akan diberikan kepada mereka yang membuat permohonan kepada BSK seperti bantuan kewangan untuk menampung keperluan persekolahan anak-anak terutamanya kepada ibu yang tidak bekerja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan BSK di sini, Rabu.
Beliau berkata BSK juga akan menyediakan khidmat nasihat dari aspek perundangan untuk membantu isteri mendapatkan nafkah daripada suami.
"Ini kerana terdapat banyak kes suami degil dan engkar untuk membayar nafkah walaupun menerima perintah mahkamah dan ada juga kes yang suami tidak mempunyai kemampuan untuk membayar nafkah berkenaan," katanya.
Ahmad Zahid berkata BSK juga akan menjadi moderator kepada agenda penyelesaian masalah di kalangan masyarakat Islam kerana tidak mahu kes-kes yang lambat diselesaikan, memberi kesan terhadap imej Islam.
Setakat ini terdapat 629 daripada 16,706 kes tuntutan nafkah yang direkodkan sebagai nafkah tidak diterima selepas penghakiman.
Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyaksikan penyampaian sumbangan cek RM500,000 oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang diwakili setiausahanya Datuk Che Mat Che Ali kepada Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Ibrahim Lembut.
BSK yang diwujudkan di bawah JKSM mempunyai 96 kakitangan yang akan ditempatkan di seluruh negara.
::Petikan artikel BERNAMA tahun 2008::
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment