Monday, 9 July 2012

BSK Transit sedia khidmat penginapan sementara



2011/06/09
Bantu wanita tinggal jauh dari mahkamah bagi hadiri prosiding kes syariah

SELEPAS hampir tiga tahun penghakiman kes tuntutan fasakh yang dikemukakan pada 2006 tertangguh, Noraimah Abdul Ghani, 36, kini boleh berlapang dada untuk meneruskan kehidupan bersama lima anak yang berusia antara enam hingga 18 tahun.

Ucapan terima kasih ditujukan kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang menyediakan perkhidmatan BSK Transit, yang membolehkan beliau hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.
“Saya sangat bersyukur akhirnya kes ini berjaya diselesaikan dan penghakiman dibuat. Masalah yang menghantui saya selama ini sudah berakhir dan saya gembira dapat meneruskan kehidupan bersama anak,” katanya pada pertemuan di Kompleks Dar al-Saadah, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau yang berasal dari Kampung Kinarut Laut, Kinarut, Sabah, adalah penerima pertama perkhidmatan BSK Transit, yang membantu menguruskan pengangkutan, penginapan dan makanan kepada mereka berdepan masalah hadir ke Mahkamah Syariah.

Noraimah bernikah dengan Azrul Hamid di Sabah pada 1992 dan dikurniakan lima anak lelaki. Pada 2001, mereka sekeluarga berhijrah ke Kuala Lumpur kerana suaminya mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.

Beliau memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 2006 selepas ditinggalkan suami sejak 2004. Kes itu tertangguh apabila dia pulang ke kampung asalnya, Kampung Kinarut Laut awal 2008.

Disebabkan kesempitan wang, beliau tidak dapat hadir ke mahkamah walaupun mendapat surat perintah menyebabkan kes itu tertangguh. Kes Noraimah dirujuk ke Jabatan Bantuan Guaman yang kemudian membuat permohonan kepada BSK.
Melalui bantuan BSK Transit, beliau yang kini bekerja sebagai pengasuh berjaya mendapat penghakiman mahkamah apabila hakim memutuskan jatuh talak selepas beliau bersumpah istizhar dan hakim berpuas hati.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja BSK, Datuk Kamilia Ibrahim, berkata penubuhan BSK Transit secara rasmi pada 3 Ogos 2010 untuk bantuan perkhidmatan penginapan sementara disediakan kepada pihak tertentu, khususnya wanita yang menghadiri prosiding kes di Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada yang tinggal jauh dari mahkamah dan tidak berkemampuan untuk memberikan keselesaan, memudahkan mereka hadir awal dan melicinkan prosiding mahkamah.

“Ada yang tidak hadir ke mahkamah bukan kerana mereka tidak mahu tetapi tidak mampu dari segi kewangan. Oleh itu, BSK Transit menyediakan khidmat pengangkutan, penginapan sementara dan makanan untuk memastikan mereka hadir prosiding di mahkamah.

“Selain membantu pihak yang bertikai, perkhidmatan BSK Transit akan mengurangkan kes tertangguh di Mahkamah Syariah, khususnya yang disebabkan ketidakhadiran kedua-dua pihak kerana berdepan masalah untuk datang ke mahkamah,” katanya.

Ketika ini, perkhidmatan BSK Transit tertumpu kepada kes Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memandangkan penginapan sementara hanya disediakan di Dar al-Saadah (dua bilik) di Jalan Ipoh Kuala Lumpur, Presint 9 di Putrajaya (dua apartmen) dan dua apartmen lagi di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Selain BSK Transit, JKSM secara proaktif menyalurkan dana BSK kepada bekas isteri dan anak yang tidak menerima nafkah disebabkan keengganan suami melaksanakan tanggungjawab itu selepas mendapat perintah mahkamah.

BSK ditubuhkan pada 20 Oktober 2008 dan mendapat dana awal sebanyak RM500,000 hasil sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Kemudian, Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta bagi tujuan membantu isteri serta anak yang tidak mendapat nafkah.

Sejak penubuhannya, BSK mengeluarkan RM200,100 untuk 79 kes (penerima dana di seluruh negara) sudah mendapat perintah mahkamah untuk nafkah anak tetapi tidak dilaksanakan bekas suami.

Daripada 79 kes itu, 10 peratus berjaya diselesaikan melalui proses mediasi (perundingan) sementara selebihnya melalui penguatkuasaan undang-undang.

Kamilia berkata, tidak dinafikan ada bekas suami yang tidak mampu untuk memberi nafkah tetapi ada juga kes bukan bapa tidak mampu membayar nafkah yang ditetapkan mahkamah tetapi sengaja enggan kerana disebabkan perasaan tidak puas hati terhadap bekas isteri.

“Terdapat kes yang berlaku di Pulau Pinang, bapa enggan bayar nafkah anak dan BSK mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang. Bapa tadi dipenjarakan dan keesokan harinya dia boleh bayar nafkah anak yang tertunggak sebanyak RM18,000.

“Ada juga kes yang bapa mengaku bukan dia tidak mampu untuk beli akhbar yang mempunyai sisipan untuk pelajaran anak, tetapi sebenarnya tidak mahu membelinya kerana akhbar berkenaan nanti akan dibaca oleh bekas isterinya,” katanya.

Katanya, dana BSK yang disalurkan kepada penerima banyak membantu ibu yang dulunya tidak mampu membeli susu anak, menghantar anak ke sekolah atau mempunyai tempat tinggal memenuhi keperluan hidup mereka.

Walaupun tempoh diberi hanya enam bulan, ia dilihat mencukupi untuk pihak berkenaan melakukan kerja-kerja menjejak bekas suami, membuat perundingan seterusnya menguatkuasakan undang-undang.

Beliau berkata, apa juga alasan diberi bekas suami, BSK akan memastikan perintah penghakiman dilaksanakan selain menyedarkan masyarakat supaya menghormati Mahkamah Syariah dan sebagai amaran, suami tidak akan terlepas daripada tanggungjawab mereka.

Bagaimanapun katanya, perlu ditekankan, BSK hanya membantu wanita yang sudah mendapatkan penghakiman dan akan diselesaikan mengikut undang-undang kerana penghakiman Mahkamah Syariah tidak ada had tertentu.

BSK menjalinkan kerjasama dengan agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi menjejaki pihak yang berhutang.

::Petikan artikel Berita Harian tahun 2009::

No comments:

Post a Comment