Tuesday, 10 July 2012

RM15 juta kepada JKSM bukti kerajaan prihatin



ARKIB : 28/01/2010

KAMI merujuk surat pembaca daripada Yob Kontan dalam ruangan ini bertarikh 13 Januari 2010 bertajuk Peruntukan RM15 juta bantu kaum wanita bukan penyelesaian: Percepatkan proses perceraian.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan penulis terhadap masalah yang dihadapi oleh isteri-isteri yang melalui proses perceraian di Mahkamah Syariah.
Peruntukan RM15 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), JKSM adalah merupakan sebahagian daripada bukti sikap keprihatinan kerajaan. Tujuannya membantu isteri yang sedang melalui proses perbicaraan kes di Mahkamah Syariah.
Hal ini dapat dilihat melalui cara penyaluran dana tersebut yang mana ia melibatkan isteri dan anak-anak yang telah memperolehi perintah nafkah tetapi tidak dipatuhi oleh suami atau bapa.
Mengambil kira hakikat bahawa untuk menguatkuasa dan melaksanakan perintah nafkah tersebut akan mengambil masa sedangkan isteri dan anak-anak memerlukan perbelanjaan, maka BSK, JKSM yang diamanahkan untuk mengurus dana tersebut akan mengambil langkah menyalurkan wang tersebut dalam bentuk pendahuluan. Pembayaran balik akan dikenakan ke atas suami setelah perintah penguatkuasaan dan pelaksanaan dijalankan.
Situasi ini jelas menunjukkan pembayaran yang diberikan melalui dana BSK adalah berlainan dengan pemberian agensi-agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Pusat Zakat. Bantuan yang diberikan ini dikira dapat mengurangkan beban dan membantu para isteri yang sedang melalui proses penguatkuasaan perintah nafkah.
Sesungguhnya penyaluran dana itu sebagai inisiatif tambahan yang diambil oleh kerajaan selain daripada meminda serta menambah baik peraturan sedia ada berkaitan perceraian seperti yang dicadangkan oleh penulis.
Kerajaan melalui JKSM sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencari jalan terbaik bagi menambah baik peruntukan undang- undang, khususnya berkaitan tata-cara perceraian.
Aplikasi e-syariah yang telah diperkenalkan oleh JKSM telah mempercepatkan proses pendaftaran kes, termasuklah kes-kes perceraian. Aplikasi ini telah diterima antara sistem kerajaan elektronik yang terbaik di dunia.
Selain e-syariah, JKSM telah mengeluarkan arahan-arahan amalan dari semasa ke semasa bertujuan untuk melancarkan lagi perjalanan pentadbiran keadilan di Mahkamah Syariah. Sebagai contoh, mengarahkan semua penangguhan kes hendaklah disertai dengan alasan yang kuat dan munasabah. Dengan cara ini suami-suami dalam prosiding perceraian tidak boleh sewenang-wenangnya melewatkan perbicaraan kes perceraian.
Selain itu peruntukan undang-undang prosedur Mahkamah Syariah, sebagai contoh Seksyen 121 Akta/Enakmen Tatacara Mal, termasuklah dalam kes perceraian, membenarkan seorang isteri yang memohon perceraian fasakh atau taklik dan sebagainya meneruskan permohonan tersebut walaupun suaminya tidak hadir. Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada kesempurnaan penyampaian saman kepada suami.
Pihak JKSM menghormati cadangan dan keprihatinan penulis supaya suami dikenakan bayaran deposit RM5,000 sebagai jaminan beliau akan hadir dan tidak melengah-lengahkan perbicaraan kes cerai di Mahkamah. Ia mungkin tidak dapat dilaksanakan kerana bertentangan dengan prinsip keadilan.
Ini kerana kelewatan dan penangguhan kes juga ada kalanya disebabkan oleh ketidakhadiran isteri atau peguam terbabit. Jadi adalah tidak adil hanya suami sahaja yang boleh diperintahkan membayar deposit tersebut.

::Petikan artikel utusan 2010::

No comments:

Post a Comment